Friday, 13 May 2016

Maksud Subhanallah, Alhamdulillah, Lailahaillallah, Allahuakbar dan Lahawlawala Quwwataillabillahilaliyyilazim

19:36:00

Maksud Subhanallah, Alhamdulillah, Lailahaillallah, Allahuakbar dan Lahawlawala Quwwataillabillahilaliyyilazim




Kita selalu berzikir dengan menyebut zikir secara berturutan seperti berikut: Subhanallah, Alhamdulillah, Lailahaillallah, Allahuakbar dan Lahawlawala Quwwataillabillahilaliyyilazim. Tetapi berapa ramaikah dari kita yang mengkaji apakah maksud zikir-zikir tersebut. Saya rasa dari segi bahasa hampir semua dari kita tahu maksudnya. Cuma dari segi huraian maksud setiap zikir tersebut tidak ramai yang tahu. Pada artikel kali ini saya akan menerangkan huraian maksud zikir tersebut.


1. Subhanallah
Subhanallah dari segi bahasa bermaksud Maha Suci Allah. Huraiannya ialah kita meyakini bahawa Allah itu Maha Bersih dan Maha Suci. Allah tidak melakukan kesilapan dan segala tindakanNya sentiasa betul. Saya bagi contoh. Di dalam dunia ini, ada manusia yang Allah pilih untuk beri hidayah dan ada manusia yang Allah pilih untuk tidak memberi hidayah. Ketahuilah bahwa Allah SWT itu langsung tidak memilih kasih. Sesiapa yang diberikan hidayah oleh Allah memang layak menerima hidayah itu berdasarkan usaha dan takdirnya manakala sesiapa yang tidak diberikan hidayah oleh Allah SWT, dia memang tidak layak menerima hidayah tersebut berdasarkan usaha dan takdirnya juga.


Allah SWT langsung tidak serupa dengan manusia yang suka pilih kasih apabila memberi sesuatu. Contohnya bos yang asyik pilih kasih apabila memberi markah cemerlang dan pangkat walaupun mungkin ada orang lain yang sama/lebih layak untuk menerima markah cemerlang dan pangkat tersebut. Contoh yang lain apabila seseorang lelaki itu berkahwin empat. Adalah mustahil untuk dia menyintai keempat-empat isterinya dengan sama rata. Soal hati itu tidak dikira berdosa kerana itu sifat semulajadi manusia. Yang penting dia mestilah berlaku adil terhadap isteri-isterinya dengan memberikan hak mereka seperti nafkah zahir dan batin, giliran yang bersesuaian dsb.


2. Alhamdulillah
Alhamdulillah dari segi bahasa bermaksud segala puji itu hanya untuk Allah. Dari segi huraian maksudnya segala yang kita ada, semuanya adalah milik Allah. Apabila ada orang yang memuji kita samaada hebat, hensem atau kaya, kembalikanlah pujian tersebut kepada Allah dengan mengucapkan Alhamdulillah. Janganlah kita merasa hebat dengan apa yang kita miliki samaada ilmu, pangkat, harta dsb kerana semuanya adalah kurniaan dari Allah. Ada orang yang merasa dia hebat kerana berjaya menjawat pangkat yang tinggi dalam syarikat. Siapakah yang telah memberikannya otak dan kepandaian sehingga dia layak menjawat jawatan tersebut? jawapannya ialah Allah. Sebenarnya segala yang kita ada, semuanya adalah milik Allah. Di akhirat nanti, kita akan ditanya oleh Allah apakah yang telah kita buat dengan nikmat yang telah diberikan oleh Allah kepada kita. Ucapkanlah Alhamdulillah juga untuk bersyukur terhadap segala nikmat yang telah Allah berikan kepada kita.


Ucapan ALHAMDULILLAH yang diucap dengan ikhlas
nescaya akan dibalas dengan Rahmat dariNya
dan sesiapa yang diberi Rahmat olehNya
Insya Allah akan bertambah nikmatnya


3. Lailahaillah
Maksud Lailahaillah ialah tiada tuhan yang layak disembah melainkan Allah. Dari segi huraian maksudnya kita hanya patut menyembah Allah semata-mata dan bukannya benda-benda lain di dunia ini. Kalau zaman dulu, masyarakat jahiliah menyembah berhala. Tapi zaman sekarang ini ada manusia yang bertuhankan benda seperti wang, wanita, pangkat, manusia dsb. Maksud bertuhankan benda ini ialah sanggup melakukan apa sahaja tidak kira halal atau haram untuk mendapatkan benda tersebut. Wang, wanita, pangkat dan lain-lain tidak salah untuk dimiliki tetapi perlu dimiliki dengan cara halal seperti bekerja, berkahwin dan jujur. Bukan dengan cara haram seperti menipu, mencuri, makan rasuah, berzina dsb. Ada orang yang sanggup bekerja dengan kuat tanpa menghiraukan solat 5 waktu kepada Allah SWT. Bukankah seolah-oleh dia telah bertuhankan wang dengan mengabaikan Allah SWT? Bukankah dia seolah-olah telah syirik kepada Allah SWT? berhati-hatilah dengan syirik kerana syirik termasuk dalam dosa yang tidak diampunkan oleh Allah SWT kecuali dengan bertaubat Nasuha iaitu taubat yang bersungguh-sungguh dan tidak mengulangi lagi dosa tersebut.


4. Allahu Akbar
Dari segi bahasa Allahu Akbar bermaksud Allah Maha Besar. Huraian bagi maksud Allahu Akbar ialah Allah itu Maha Besar dan Hebat. Dia boleh berbuat apa sahaja yang dia kehendaki dan tiada siapa yang boleh mempertikaikan segala tindakanNya itu. Tiada siapapun yang layak menyoal Allah tentang segala tindakan dan keputusanNya bahkan makhluklah yang akan disoal oleh Allah SWT di akhirat nanti tentang apa yang mereka kerjakan. 


Allah berfirman: Dia (Allah) tidak boleh ditanya tentang apa yang Dia lakukan, sedang merekalah yang akan ditanya kelak. (Al-Anbiya' 21:23)


Sesungguhnya ilmu Allah itu Maha luas. Sekiranya dibuat perbandingan ilmu Allah dengan ilmu makhluk itu, ilmu Allah itu seumpama satu lautan yang luas sedangkan ilmu makhluk itu seumpama setitis air dari lautan tersebut, bahkan lebih sedikit dari itu. Jadi layakkah kita mempertikaikan keputusan Allah terhadap kita dengan ilmu kita yang sedikit ini? Oleh itu, kita tidak boleh sama sekali membesarkan benda lain selain dari Allah SWT. Kesemua kita adalah hamba Allah yang tertakluk kepada hukum syariat yang telah ditetapkanNya. kita mestilah mengikut segala hukum syariat Allah untuk membesar dan mengagungkanNya.


5. Lahawlawala QuwwataillabillahilAliyilAzim
Maksud Lahawlawala QuwwataillabillahilAliyilAzim ialah tiada daya dan kekuatan melainkan dengan izin Allah. Dari segi huraian maksudnya kita hendaklah takut hanya kepada Allah dan bukan kepada makhluk kerana makhluk itu langsung tiada kuasa. Kekuasaan makhluk itu hanya sekadar yang diizinkan oleh Allah SWT. Janganlah takut dengan hantu, orang yang berpangkat besar, orang kafir, orang munafik, orang jahat dsb. Takutlah hanya kepada Allah SWT. Sesiapa yang takut kepada Allah SWT, semua makhluk akan takut kepadanya kerana tidak kira siapa sahaja langsung tiada kuasa untuk menyakiti diri anda kecuali diizinkan oleh Allah SWT.


Akhir kata, di antara fadhilat berzikir dengan Subhanallah, Alhamdulillah, Lailahaillallah, Allahuakbar dan Lahawlawala Quwwataillabillahilaliyyilazim adalah seperti 3 hadis berikut:


Hadis 1
Ketika Siti Fatimah r.a. puteri baginda Rasulullah s.a.w. merayukan halnya kepada baginda dengan berkata:
"Ya Rasulullah, berikan kepadaku seorang hamba (khadam) agar aku dapat mengatasi kesukaran-kesukaran yang ku alami dalam menyelenggarakan urusan-urusan rumah-tangga ku." Baginda Rasulullah s.a.w. bersabda:

"Hendaklah kau ucapkan: SUBHANALLAHI sebanyak 33 kali ALHAMDULILLAHI sebanyak 33 kali dan ALLAHU AKBAR sebanyak 34 kali sebelum tidur di malam hari."
Lantas baginda Rasulullah s.a.w. bersabda lagi: "Ini lebih baik bagimu daripada khadam yang kau mintakan itu."


Hadis 2
Dari Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa satu ketika baginda Rasulullah S.A.W datang kepada kami dan bersabda: Ambillah perisai untuk melindungi kamu! Para sahabat R.Anhum bertanya: Ya Rasulullah, adakah musuh akan datang? Baginda bersabda: Ambillah perisai untuk melindugi kamu dari api neraka. Bacalah : Subhanallah, Alhamdulillah, Laailahaillallah, Allahuakbar, Walahaulawalakuataillabillah, - Sesungguhnya kalimat ini akan datang pada hari kiamat kepada pembacanya dan akan melindunginya dari sebelah hadapannya, disebelah belakangnya, dikanannya dan dikirinya dan inilah amal kebajikan yang sentiasa mendapat ganjarannya. (HR Tabrani. Majma`ul Bahrain).

Keterangan
Dalam hadith dinyatakan "Kalimat ini akan berada dihadapan pembacanya: bermaksud ialah dia akan menjadi penyokong dan pembela untuknya. Dan :berada disebelah belakang, kanan dan kirinya" bermaksud dia akan melindungi pembacanya dari segala azab dan siksa.


Hadis 3
Riwayat Muslim menjelaskan bahawa barangsiapa bertasbih (Subhanallah) setiap kali selesai solat sebanyak 33 kali, bertahmid (Alhamdulillah) sebanyak 33 kali dan bertakbir (Allahu Akbar) sebanyak 33 kali, kemudian digenapkan dengan mengucapkan Lailaha Illallah Wahdahula Syarikalahu Walahulhamduyuhyi Wayumitu Wahuwa Ala Kulli Syaiin Qadir, nescaya akan diampuni dosanya walaupun sebanyak buih di lautan. 



Penggunaan 'Masya-Allah', 'Subhanallah' dll di tempat yang sebetulnya...


"Penggunaan MasyaAllah, Astaghfirullahhal’azim, SubhanAllah dan Nauzubillah"

Penggunaan perkataan MasyaAllah, Astaghfirullahhal’azim, SubhanAllah dan Nauzubillah", sering diletakkan salah pada tempatnya, terutamanya di dalam cerita-cerita/drama-drama di dalam TV dan juga di dalam kehidupan seharian.
Selalunya kita akan mendengar ungkapan sebagaimana berikut jika kita rasa terkejut bila mendengar atau melihat sesuatu yang negatif, contohnya bila kita dengar orang yang buat maksiat

"Masya Allah, kau berjudi?"

atau juga bila kita dengar cerita seseorang yang menzalimi ibu bapa, anak, isteri dan sebagainya

"Masya Allah, anak apa kau ni, buat begitu kat mak ayah kau"

Begitu juga dengan kalimah "Subhanallah." Biasanya jika berlaku perkara yang difikirkan ajaib, takjub dan indah, ungkapan "Subhanallah" akan keluar. Contohnya jika kita dengar orang dapat 20 A1 dalam SPM.

"Subhanallah, hebatnya budak tu.."

Begitulah kita, jika kita mendengar sesuatu yang baik, pasti kita akan sebut "Subhanallah" dan jika kita mendengar sesuatu yang buruk atau negatif , kita akan ungkap "MasyaAllah"




Mari kita memahami maksud-maksud ayat di bawah:

» MasyaAllah – Dengan kehendak Allah SWT.
» Astaghfirullahhal’azim – Aku memohon keampunan Allah
» SubhanAllah – Maha Suci Allah
» Nauzubillah – Kami memohon perlindungan Allah
Innalillah wa inna ilaihi raaji’uun -

Jadi penggunaan “MasyaAllah” ketika berhadapan dengan situasi yang tidak elok adalah salah dan tidak diajarkan. Yang patut kita lafazkan pada situasi kurang elok ialah “Astagfirrullahhalazim” (Aku memohon keampunan Allah) ataupun “Innalillah” (Kepada Allah kita kembali) ataupun “Nauzubillah”(Kami memohon perlindungan Allah).
Kebanyakkannya menggunakan “MasyaAllah” ketika terlihat perkara-perkara maksiat terutamanya wanita-wanita yang tidak menutup aurat. Ini banyak berlaku di dalam TV. Sepatutnya, kita beristighfar (memohon keampunan Allah) apabila melihat perkara-perkara yang di tegah Allah.
Ungkapan "MashaAllah" sepatutnya digunakan untuk perkara yang menggambarkan keindahan, ketakjuban yang positif terhadap sesuatu perkara. Sebagai contoh, kejayaan seseorang dalam pelajarannya atau bidangnya perlu kita sebut

"MasyaAllah, hebatnya dia dapat 20 A1 dalam SPM"
"MasyaAllah, dia dapat cipta enjin solar berkelajuan tinggi"
"MasyaAllah, cantiknya baju awak"


Dalam masa yang sama, penggunaan kalimah ini boleh menghindari seseorang mendapat penyakit "ain" atau sumpahan mata . Oleh itu tidak hairanlah jika kita dapati di kebanyakan negara Arab, Pakistan dan Iran , mereka akan melakarkan perkataan "MasyaAllah" jika mereka sedang dalam proses pembinaan bangunan dan kalimah itu kekal sehinggalah bangunan siap dibina.


Jika diteliti dan dikaji, perkataan (ungkapan zikir) yang kita gunakan (praktik) ketika berhadapan dengan situasi di atas menjadi terbalik dan amat berbeza dengan apa yang diajar oleh Islam.

Manakala penggunaan kalimah SubhanAllah pula biasa digunakan oleh baginda SAW dalam perkara yang dianggap pelik atau hairan pada perbuatan yang kurang tepat. Sebagai contoh dalam sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Tirmizi, dari Abu Hurairah ra mafhumnya

"Suatu hari aku berjunub dan ternampak Rasulullah SAW berjalan bersama para sahabat, lantas aku menjauhi mereka dan pulang untuk mandi junub, setelah itu aku datang menemui Rasulullah SAW. Baginda bersabda: Wahai Abu Hurairah, mengapakah engkau melarikan diri tatkala ternampak kami? Aku menjawab: Wahai Rasulullah , aku kotor (berjunub) dan aku tidak selesa untuk bertemu kalian. Rasulullah SAW bersabda: Subhanallah!! sesungguhnya mukmin tidak najis"

Lihatlah bagaimana ungkapan Nabi tika mendengar kata-kata Abu Hurairah . Baginda tersentak dengan fahaman Abu Hurairah yang kurang tepat. Oleh itu, sepatutnya jika berlaku atau terdengar sesuatu yang negatif , kita ungkapkan "Subhanallah", contohnya

"Subhanallah, awak belum solat lagi?"

"Subhanallah, kenapa boleh jadi macam tu?"


Mungkin kita tertanya-tanya, bagaimana pula ayat Al-Quran yang menggunakan kalimah "Subhanallah" ketika membicarakan soal penciptaan langit dan bumi serta seisinya yang cukup mengagumkan?

Jawapannya ialah kerana ketakjuban kita dan keindahan yang memukau itu menyebabkan minda kita melayang-layang yang memudahkan syaitan menusuk 'jarumnya' untuk membayangkan zat Allah, lantas kita perlu sucikan Allah dari segala bentuk bayangan minda yang khilaf/salah. Juga untuk memasakkan dalam jiwa kita sekalipun kita takjub pada alam, Allah yang lebih layak untuk kita kagumi.


 Wallahu a'lam.



p/s: Jadi, jom kita sama-sama menggunakan perkataan-perkataan tersebut di tempat yang sepatutnya. 

0 comments

Powered by Blogger.